beberapa hadith yang menjelaskan ciri-ciri atau sifat-sifat munafik. Diantara sifat-sifat munafik adalah bercakap selalu bohong, tidak menepati janji, bertengkar selalu melampaui batas dan pecah amanah.
Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah saw bersabda :
"Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas" [Hadith Sahih Riwayat Muslim]
Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah saw bersabda :
"Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya" [Hadith Sahih Riwayat Muslim]
--------------
Orang-orang munafik dizaman Rasulullah saw akan mencari alasan untuk tidak menyertai peperangan. Diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudriy r.a:
"Pada zaman Rasulullah s.a.w orang munafik selalu tidak menyertai peperangan, malah mereka bergembira dengan sikap mereka tidak bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Nabi s.a.w kembali, mereka mengemukakan berbagai alasan kepada baginda sambil bersumpah dan mengharapkan pujian terhadap apa yang mereka tidak lakukan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat : Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, maka jangan kamu sangka mereka akan terselamat dari seksa " [Hadith Sahih Riwayat Muslim]
Mereka juga akan belot diwaktu peperangan sebagaimana perang Uhud. Didalam sebuah riwayat dari Zaid bin Thabit r.a :-
"Ketika Nabi s.a.w keluar ke peperangan Uhud, sebahagian daripada tentera yang mengikuti baginda membelot menyebabkan para sahabat menjadi dua pasukan. Sebahagian daripada para sahabat berkata: Kita akan membunuh mereka, manakala sebahagian lagi berkata: Kita tidak boleh membunuh mereka. Lalu Allah s.w.t menurunkan Ayat 'Yang bermaksud: Maka apakah yang menyebabkan kamu berpecah menjadi dua golongan kerana kaum munafik itu'"
--------------
Di suatu masa nanti, orang-orang kafir dan Munafik akan keluar dari Madinan untuk menemui Dajal. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan dipijak (dilanda) oleh Dajal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijaga oleh barisan Malaikat. Oleh itu Dajal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Sibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafik keluar dari Madinah menemui Dajal " [Hadith Sahih Riwayat Muslim]
--------------
Pada hari Akhirat kelak, setiap wajah orang Islam bersinar-sinar dipacari oleh Nur, dan nur tersebut akan padam jika dia seorang munafik. Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Abu Az-Zubair r.a katanya:
"Bahawa beliau pernah mendengar Jabir bin Abdullah r.a ditanya tentang kebangkitan di akhirat. Maka beliau berkata: Kita dibangkitkan pada Hari Kiamat begini dan begini. Lihatlah! Ertinya: Kedatangan manusia itu mengikut darjat masing-masing. Lalu dipanggil umat-umat dengan berhalanya dan apa yang mereka sembah suatu ketika dahulu, secara berturutan. Setelah itu, Tuhan datang kepada kita lalu berfirman: Siapakah yang kamu tunggu? Maka mereka pun menjawab: Kami menunggu Tuhan kami. Allah berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka akan berkata: Sehingga kami melihatMu dulu. Terserlah pada mereka Tuhan tertawa. Lalu Dia membawa mereka dan mereka pun mengikuti-Nya. Setiap seorang di antara mereka samada munafik atau mukmin akan diberi nur iaitu cahaya. Kemudian mereka mengikuti cahaya tersebut melalui jambatan Neraka Jahanam, terdapat besi-besi pengait dan berduri yang boleh meragut sesiapa saja yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian nur iaitu cahaya orang-orang munafik padam, sedangkan orang-orang mukmin selamat. Selamatlah rombongan pertama yang terpancar pada wajah mereka bagaikan bulan purnama seramai tujuh puluh ribu orang tanpa dihisab. Kemudian orang-orang berikutnya seperti terangnya bintang-bintang di langit, demikianlah seterusnya. Kemudian syafaat diizinkan. Mereka pun meminta syafaat, sehingga mereka dapat mengeluarkan dari Neraka sesiapa yang melafazkan:'La ilaha illallah' dan di hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum. Mereka akan ditempatkan di halaman Syurga lalu Ahli Syurga akan memercikkan mereka dengan air sehinggalah daging mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu tumbuhan selepas banjir dan hilanglah hangusnya. Kemudian dia iaitu orang terakhir meminta, sehingga diberikan kepadanya dunia dengan sepuluh kali ganda " [Hadith Sahih Riwayat Muslim]