Menangani Perbezaan Pendapat Cara Rasulullah SAW


Assalamualaikum wbt.
Sudah sunnatullah bahawa manusia itu diciptakan berbeza-beza agama, bangsa dan keturunan. Demikianlah Allah mencipta manusia dalam segala ruang lingkup kehidupannya agar saling kenal mengenal dan beramah mesra antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
49 13 Menangani Perbezaan Pendapat Cara Rasulullah SAW
ahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuurat: 13)
Perlu diinsafi bahawa maksud taaruf tidak hanya menjurus kepada maksud kenal mengenal sahaja sekadar nama, asal dan sebagainya. Malahan taaruf itu merangkumi ruang lingkup yang luas iaitu mengenali secara akrab dan mendalam.  Ia merupakan satu proses yang berterusan, tidak mampu disempurnakan dalam ‘One Shot’. Dalam proses ini, isu perbezaan pandangan adalah merupakan satu isu yang amat sebati dan sinonim serta satu perkara yang amat wajar dalam konteks pergaulan sesama manusia.

Berbeza bukan Bermusuh
kita sebagai manusia biasa sewajibnya memahami bahawa perbezaan pandangan atau buah fikiran bukanlah dicipta untuk mencetuskan satu permusuhan dan sentimen pertelagahan sesama manusia. Sebaliknya, ia hanyalah merupakan sebahagian daripada wadah atau medium untuk mencipta satu persefahaman yang mantap dan semangat toleransi yang jitu dan akhirnya akan menjalin satu ikatan persaudaraan dan kesatuan ummah yang mapan sama ada sesama Islam mahupun sesama bukan Islam.
Contoh paling mudah dalam Islam berkenaan persoalan perbezaan pendapat ini timbulnya pelbagai mazhab. Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeda-beda. Kerana itulah  wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi. Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Apatah lagi kita umat akhir zaman. Persoalan sebesar Akidah masih ada banyak khilaf, apa lagi isu-isu lain yang bersifat teknikal.
Teladani Rasulullah SAW
Mari kita perhatikan beberapa contoh yang dipetik daripada sirah agung Rasulullah SAW dalam persoalan menangani perbezaan pendapat ini.
1. Sejurus perang Ahzab atau perang Khandak, Rasulullah s.a.w. memerintahkan sebahagian para sahabat ke perkampungan Bani Quraizhah untuk mengambil tindakan ke atas pengkhianatan semasa peperangan. Sebelum bertolak Rasulullah s.a.w. bersabda:
arang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia solat asar melainkan di Bani Quraizhah.”
Para sahabat dari madrasah az-Zawahir menafsir hadis itu secara literal sehingga menyebabkan mereka melewatkan solat asar sehinggalah mereka tiba di perkampungan Bani Quraizhah walaupun telah masuk waktu maghrib. Para sahabat dari madrasah al-Maqasid melakukan solat asar ketika di perjalanan kerana berpandangan bahawa tujuan Rasulullah s.a.w. berkata begitu ialah supaya para sahabat bersegera ke sana.
Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah, Baginda tidak menyalahkan mana-mana golongan. Inilah antara bukti bahawa Rasulullah s.a.w. sangat meraikan perbezaan pendapat di kalangan para sahabat malah Baginda membiarkan mereka beramal mengikut ijtihad masing-masing.
2. Musyawarah yang diperintahkan Allah kepadaNya telah dipraktikkan oleh Rasulullah dalam banyak peristiwa terutamanya dalam soal-soal yang berkaitan dengan strategi perang.
Contohnya dalam perang Badar. Rasulullah telah bermusyawarah dengan para sahabat dengan menawarkan ideanya untuk menghalang khafilah musyrikin Quraisy yang kembali dari Syam. Idea tersebut diterima dan disepakati oleh para sahabat dengan kata-kata yang menyakinkan:
a Rasulullah, sekiranya engkau mengajak kami berjalan menyeberangi lautan yang luas ini, tentu akan kami lakukannya dean sekali-kali tidaklah kami akan bersikap seperti kaum Musa yang berkata kepada nabinya: Pergilah engkau bersama Tuhanmu berperang, sedang kami akan tetap tinggal di sini.”
Perbezaan pendapat dalam muyawarah sebegini mampu dimurnikan dengan baik hingga menimbulkan penyelesaian terbaik yang diterima semua.
Diriwayatkan Ibnu Majah bahawa Rasulullah bersabda:
ika seorang di antara kamu dimesyuarahi saudaranya, maka hendaklah ia memberikan petunjuknya”
Perbincangan sebelum pembentangan kepada Bumi Armada
Pendapat Ulama’-ulama’ Besar
Begitulah serba sedikit petikan sirah Rasulullah. Lalu bagaimana pula pendapat ulama’?
1. Imam Syafie’
Kata Imam Syafie’ :
a’yuna shawab yahtamilu khata’ wa ra’yu ghairina khata’ yahtamilu shawab (pendapat kami benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat selain kami salah tetapi ada kemungkinan benar).”
Para salafus soleh memang sering berbeza pendapat tetapi mereka tidak pernah keluar dari ruang lingkup yang tidak dibenarkan oleh syara’. Apapun perbezaan yang timbul, segala persoalan adalah berkisar tentang hukum-hukum syara semata-mata yang diistinbat dari sumber yang benar (Al-Quran, Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas).
2. Hassan Al-Basri
Pernah ditanya kepada Hassan Al-Basri:
ahai Hassan Basri, bagaimana kedudukan peperangan di antara Saidina Ali dan Muawiyah dan peperangan antara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah, Talhah dan Zubir?”
Hassan Al-Basri berkata
tu adalah peperangan yang disaksikan oleh sahabat Nabi SAW, mereka lebih mengetahui mengenai peperangan tersebut.Oleh itu kita mengambil masalah ini dan kita serahkan kepada Allah. Yang bersalah kita mohon supaya Allah mengampunkan dosa mereka, kerana kita tidak ada pada masa itu, mereka lebih mengetahui mengapa mereka berperang. Kalau mereka berijmak dan berijtihad dalam suatu perkara, maka kita mesti mengikut mereka. Tetapi kalau mereka bertelingkah sesama mereka, maka kita jangan berkata apa-apa.”
Menyedari akan kepelbagaian latar belakang pendidikan, kepelbagaian pengalaman dikampus masing-masing, juga kepelbagaian pengalaman, kita harus menginsafi bahawa perbezaan pendapat yang wujud itu adalah merupakan perkara lumrah kehidupan yang menghiasi kelangsungan kehidupan manusia sejagat. Apalah lebihnya kita jika bandingkan dengan Rasulullah SAW. Baginda menguruskannya dengan penuh tertib.
Kesimpulan
Justeru, sewajarnya wujud perasaan saling hormat menghormati dan harga menghargai antara satu sama lain kerana kita semuanya diciptakan Allah bersama-sama dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing biarpun kita adalah sebaik-baik makhluk di bumi Allah ini.pendapat atau pandangan boleh  saja diterima dan  boleh juga ditolak, kerana ia hanyalah pandangan, ia bukan satu keputusan, bukan satu resolusi, bukan juga satu arahan malah bukan dalil mutlak! Maka perbincangan secara ilmiah wajiblah diadakan.  Tidaklah menjadikan seseorang itu rendah martabat atau menjadi hina jika pendapatnya ditolak.
Walau bagaimanapun, harus ditekankan di sini perbezaan pendapat sebegini hanya dibenarkan di sekitar isu-isu yang bersifat furu’ . Perkara yang bersifat Qat’ie atau prinsip serta mempunyai nas-nas syariat secara jelas dan terang tidak perlulah diperdebatkan lagi. Paling penting, Islam menganjurkan umatnya agar kembali merujuk kepada al-Quran dan juga Sunnah sebagai rujukan utama dalam menyelesaikan segala kemelut dan kecelaruan yang timbul. Janganlah pula terbawa-bawa menurut runtunan hawa nafsu dan sifat ego yang hanya membawa padah yang buruk kemudian nanti.
Rujukan:
1. Belajar daripada Dua Umar, Hepi Andi Bastoni.
2 Perbezaan Pandangan, Prof. Dr. Engku Ahmad Zaki
 
;